Wednesday, September 24, 2008

FAKTA-FAKTA MENGENAI SUSU & HASILAN SUSU DARI NEGERA CHINA

1. Apakah Melamine?
Jawapan :
Melamine adalah bahan organik yang antara kegunaannya ialah dalam pembuatan plastik, bahan pembersih, gam, baja dan lainlain. Melamine adalah bahan yang tidak dibenarkan di dalam semua makanan.

2. Mengapa Melamine dikesan di dalam susu dan hasilan susu?
Jawapan :
Ia ditambah secara sengaja untuk meningkatkan tahap nitrogen bagi mematuhi standard kandungan protein dalam susu. Penambahan Melamine dalam makanan adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

3. Apakah kesan Melamine kepada manusia?
Jawapan :
Kesan melamine secara langsung mengakibatkan iritasi apabila terhidu dan bersentuhan dengan kulit atau mata. Pengambilan melamine melalui makanan boleh mengakibatkan kerosakan pada sistem pembiakan pembentukkan batu karang dalam ginjal dan pundi kencing. Ini boleh mengakibatkan kegagalan ginjal terutamanya kepada bayi. Sebagai langkah proaktif, Kementerian Kesihatan ingin menasihati semua pakar perubatan dan pegawai perubatan agar sentiasa berjaga-jaga dan memantau gejala masalah buah pinggang seperti bayi menangis tanpa sebab ketika kencing, kencing berdarah, dan tekanan darah tinggi pada bayi. Keadaan ini jarang
berlaku dan sekiranya mengesyaki gejala ini di kalangan kanak-kanak perlulah melaporkan kepada KKM dengan segera.

4. Adakah susu tepung formula bayi, dan susu dari Negara China di bawa masuk ke Malaysia?
Jawapan :
Malaysia tidak mengimport sebarang susu tepung formula bayi dan susu dari Negara China.

5. Adakah hasilan susu dari Negara China di bawa masuk ke Malaysia?
Malaysia ada mengimport hasilan susu dari Negara China, walaubagaimanapun, bekalan susu diimport dari Australia, New Zealand, Nertherland dan Amerika Syarikat. Ini merupakan syarat
oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam mengeluarkan permit bagi hasilan susu yang diimport dari Negara China oleh kerana risiko penyakit kaki dan mulut pada ternakan lembu di negara tersebut.

6. Apakah yang dimaksudkan susu dan hasilan susu?
Jawapan :
Merujuk kepada Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, susu didefinisikan sebagai susu biasa yang bersih dan segar daripada lembu, kerbau, kambing atau biri-biri.
Hasilan susu didefinisikan sebagai apa-apa produk yang dihasilkan atau disediakan daripada susu. Contohnya:
i. Susu skim (susu tanpa lemak)
ii. Susu pasteur
iii. Susu UHT
iv. Susu berperisa
v. Susu tepung krim
vi. Susu tepung skim
vii. Susu sejat
viii. Susu pekat manis
ix. Mentega
x. Keju
xi. Ais krim
xii. Yogurt
xiii. Ghee (minyak sapi)

7. Apakah peranan anda sebagai pengguna dalam hal ini?
Jawapan :
Pengguna diminta mendapatkan maklumat terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (website/telefon/kenyataan akhbar). Pengguna dinasihatkan membaca label makanan sebelum membeli. Sekiranya pengguna masih ragu-ragu, sila hubungi Bahagian Keselamatan dan
Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03- 88833655/0388833503 untuk membuat aduan dan mendapatkan maklumat lanjut.